Thursday, December 31, 2015

ANNAPURNA BASE CAMP (ABC) 2015 (Bahagian I)

CATATAN PERJALANAN EKSPEDISI KE ANNAPURNA BASE CAMP (ABC) PADA 30/10/15 – 10/11/15 oleh OHM00008 TOKWAN

New Straits Times edisi  31 Disember 2015
(OHM00381 Zack (kiri), OHM00008 Tokwan (tengah) & Norul (kanan))

Pada 30/10/15, kesemua peserta telah tiba di Kathmandu. Pada malamnya, peserta pergi membeli belah. Ada yang beli jaket sejuk, tongkat, botol air, haversack dan bermacam peralatan treking yang memang banyak dan lebih murah dari Malaysia. Sebenar nya, masih ada masa lagi untuk membeli belah di Pokhara.

Keesokan hari nya, 31/10/15, 17 peserta menaiki bas pelancong dari Kathmandu ke Pokhara pada jam 0730 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Jarak lebih kurang 200 km.  OHM00260 Saiful, OHM00318 Zanita dan saya iaitu OHM00008 Tokwan, memilih untuk menaiki pesawat domestic. Tambang untuk penerbangan domestic itu ialah USD126.00 termasuk pengangkutan ke lapangan terbang Kathmandu dan juga dari lapangan terbang di Pokhara ke hotel. Perjalanan ke Pokhara menaiki kapalterbang adalah pengalaman baru bagi saya. Sekiranya anda menaiki kapalterbang, pastikan anda duduk di tempat duduk sebelah kanan kerana mudah untuk mengambil gambar pergunungan yang memang kelihatan cantik.

Penerbangan ke Pokhara

Penerbangan kami memakan masa 45 minit sahaja. Setiba nya di lapangan terbang, telah sedia ada kereta menjemput kami untuk dihantar ke hotel. Peserta lain tiba lebih kurang jam 1500. Malam itu semua nya “free and easy”. Kebanyakan nya membuat “last minute shopping”. Hanya terdapat satu restoran yang menjual makanan halal. Kedai nya agak tersorok ia itu disalah satu lorong diantara blok kedai di jalan utama, selari dengan tasik. Lokasi lorong tersebut betul betul di hadapan Fewa Paradise Restaurant & Bar. Nama kedai itu ia lah Pokhara Halal Food Land. Yang pelik nya, kebanyakan orang Pokhara tidak tahu tentang restoran ini.

Makan dan penginapan di Pokhara 


Hari Pertama (01/11/15)
Jam 0800 kami sarapan. Lebih kurang jam 0900, haversack kami dinaikan ke atas bumbung van oleh porter. Barang barang yang tidak diperlukan kami tinggalkan di hotel. 9 orang porter semua nya disediakan. Selain dari Keshab sebagai ketua guide, 2 orang lagi guide, Chandra dan Medan, juga ikut serta. Kedua mereka ini ternyata sangat membantu semasa treking di mana salah seorang dari mereka akan bergerak laju di hadapan untuk sampai dulu di guest house untuk persediaan apa apa yang patut sebelum kami tiba.

Jam 0930 kami bergerak ke Phedi (1130 mdpl) ia itu tempat permulaan ke ABC yang jarak nya lebih kurang 22 km dari bandar Pokhara. Sebenar nya ada 2 tempat permulaan unyuk ke ABC yang biasa digunakan oleh treker. Yang satu lagi ia lah Nayapul. Kami memilih permulaan dari Phedi kerana pertama kami tidak berhasrat untuk ke Poon Hill, yang terkenal kerana pemandangan di sini cantik. Walaupun cantik tetapi pemandangan yang tidak kurang  boleh didapati dari laluan Phedi kerana ia adalah pemandangan banjaran gunung yang sama. Kedua kerana kami ingin menjimatkan masa. Ketiga kerana kami akan balik melalui Nayapul. Dalam erti kata lain, kami akan membuat satu pusingan dengan peesekitaran yang berbedza.

Phedi - titik permulaan treking ke ABC

Kami sampai di Phedi lebih kurang jam 1000. Selepas membeli cenderahati di gerai berhampiran dan bergambar sakan, kami pun memulakan treking dengan memanjat beberapa ratus anak tangga yang agak pacak. Lebih kurang 50 minit baru kami sampai ke atas bukit dan berehat selama 30 minit.

  Heaven’s Gate Guest House di Pothana

Lepas itu kami treking lagi selama 1½  jam sebelum berehat sebentar pada ketinggian 1530mdpl. Kawasan yang kami lalui merupakan kampong dengan tanaman padi bukit dan sayur. Kami meneruskan perjalanan sehingga sampai Dhampus (2585mdpl) pada jam 1315 petang. Kami berhenti untuk makan tengahari disitu. Jam 1515, kami meneruskan treking  dan pada jam 1630 kami sampai di  Pothana (1950 mdpl) di mana kami bermalam di Heaven’s Gate Guest House. Perjalanan hari ini boleh dikatakan agak santai dan tidak begitu susah. Jarak yang kami lalui ialah 8 km sahaja.


Hari Kedua (02/11/15)
Hari ini perjalanan kami adalah sejauh 13 km. Lebih kurang 30 minit treking, kami sampai di Pittam Deurali (2100mdpl) dimana kami berhenti rehat untuk mengambil gambar. Pemandangan di sini sangat cantik. Sepatutnya kami bermalam disini untuk mendapatkan gambar matahari terbit. Tapi, oleh kerana guest house yang baru disini masih belum siap, maka kami tukar bermalam di  Pothana.

Newbridge

Sebahagian dari Sungai Modi Khola

Kami treking menurun gunung dilereng bukit dan mengambil masa lebih kurang 6 jam untuk sampai ke Newbridge (1340mdpl), tempat bermalam kami pada hari ini. Perjalanan hari ini banyak menurun dari mendaki kerana Newbridge terletak di bawah lembah di kaki gunung. Di sini kami menyeberangi  Sungai Modi Khola untuk mendaki gunung di sebelah sana lembah.

Pada hari pertama dan kedua, saya hanya memakai baju dri-fit lengan panjang, tshirt, seluar trek nipis dan kasut “trail running” sahaja. Ini kerana saya menjangkakan trek tidak begitu sukar. Tetapi pada hari ketiga dan seterusnya, saya menukar seluar trek yang tebal sedikit serta kasut but yang kalis air.


Hari Ketiga (03/11/15)
Hari ini keperitan mendaki sudah mula terasa. Kami mendaki mengikuti lereng bukit sehingga sampai ke Sinuwa (2360 mdpl). Kami bermalam di sini. Boleh dikatakan 80% trek di kawasan Annapurna ini bertangga yang diperbuat dari kepingan batu. Memang terasa letih dan sengal semua otot2. Nasib baik kami hanya membawa daypack yang mengandungi air minuman, makanan ringan, jacket dan kamera/handphone. Tidak dapat dibayangkan bagaimana porter boleh memikul beg seberat 30kg dan mendaki. Saya tabik dia orang ni. Walau bagaimana pun, pemandangan disepanjang jalan sangat cantik. Ini membuat kami hilang rasa penat seketika.



Hari Keempat (04/11/15)
Dari hari ketiga hingga hari kelima, perjalanan memang begitu memenatkan. 90% trek adalah mendaki. Selama 2 bulan sebelum pergi ke Nepal, saya pergi berlatih di gym setiap selang dua hari. Setiap kali latihan saya gunakan treadmill pada tahap maximum selama satu jam tanpa henti, berihat 15 minit. Kemudian saya sambung dengan kayuh basikal selama 30 minit dan berihat 15 minit. Akhir sekali saya akan gunakan stepper selama 30 minit. Saya rasa, latihan di gym itu banyak membantu saya. Kalau tidak, pasti saya sudah pewai.

Dari Sinuwa kami trek ke tempat bermalam ia itu Deurali  (3200 mdpl). Jarak perjalanan hari ini lebih kurang 19km dan kami mengambil masa lebih kurang 8 jam untuk sampai. Kami melalui Chhomrong (2340 mdpl). Apa kelebihan Chhomrong ni? Kalau nak tahu, ini adalah satu perkampungan besar di mana terdapat sekolah, hospital dan, pejabat daerah. Selain itu, terdapat beribu anak tangga turun ke lembah, menyeberang sungai  dan naik semula ke gunung seberang. Ketinggian tangga dianggarkan 12 kali ganda tangga Batu Caves. Melihat tangga tersebut sahaja sudah cukup untuk melemahkan semangat. Tidak cukup dengan ketinggian, tangga tersebut diliputi oleh najis kerbau dan keldai yang kering dan basah kerana ini juga merupakan laluan mereka. Terasa geli geleman sewaktu melalui tangga tersebut. Pada hari ini kami sudah mula terasa sejuk sewaktu treking.

Chhomrong



Hari Kelima (05/11/15)
Hari ini merupakan hari kami tiba di destinasi, ABC (4130 mdpl). Jarak dari Deurali ke ABC tidak lah begitu jauh. Hanya 7 km sahaja. Tetapi ia memakan masa lebih kurang 6 ½ jam treking untuk sampai. Hari ini trek mendaki melalui celah gunung dan tepi sungai yang berbatu. Hanya satu kawasan guest house yang ada sebelum sampai ke ABC ia itu di Machhapuchere Base Camp (MBC).

Trek menghampiri MBC

Semasa sampai di MBC, kami sudah dapat melihat sedikit salji. Bulan November merupakan awal Winter. Salji baru mula nak turun. Trek agak basah dan lecak kerana salji yang turun mudah mencair. Nasib baik saya memakai but kalis air. Dari MBC ke ABC memakan masa 2 jam treking mendaki di celah gunung. Kami sentiasa mengenakan jaket semasa treking hari ini kerana cuaca tidak menentu. Cuaca cepat berubah dari cerah ke mendung serta berangin. Memang sejuk. Pakaian saya pada masa ini ialah Long John disebelah dalam dan diluar saya kenakan tshirt dan jaket. Sementara seluar, saya gunakan seluar trek yang tebal sedikit. Saya juga meletak buffer dileher dan menggunakan tutup kepala. Sayang nya saya tidak ada gaiter untuk digunakan. Ia sangat membantu kalau ada.

MBC

Sewaktu menghampiri ABC, saya telah dihujani dengan salji. Satu pengalaman yang menyeronokan. Tiba di papan tanda yang famous tu maka bergambar sakan lah saya. Saya bernasib baik kerana salji baru turun. Jadi, tidak begitu tebal seperti sewaktu saya pergi pada bulan April tahun lepas. Perbedzaan ini boleh dilihat pada ketinggian saya semasa bergambar di papan tanda tadi.

              
Hari Keenam (06/11/15)
Waktu subuh lagi, ramai peserta telah pun bangun untuk mengambil gambar matahari terbit. Ini lah sebab nya kenapa kami memilih untuk tidur di ABC dan bukan MBC seperti yang saya lakukan dahulu. Sehingga matahari naik, mereka masih lagi bergambar. Memang awesome! Keadaan cuaca memang sejuk giler. Waktu tidur malam nya, tersangat lah sejuk. Suhu mungkin dalam -10 deg celcius. Saya tidur dengan memakai longjohn, seluar trek, tshirt, sweater, sleeping bag dan selimut. Sleeping bag dan selimut memakan masa untuk jadi panas.

Pemandangan di ABC

Selesai sarapan, kami siap sedia untuk berangkat turun. Tapi masih sempat lagi bergambar. Perjalanan agak laju kerana perjalanan balik lebih banyak menurun. Kawasan dari ABC ke MBC banyak diliputi oleh salji yang turun pada malam nya. Pemandangan keliling putih. Batu batu yang timbul sebelum nya banyak diliputi oleh salji. Walaupun matahari ada, tetapi cuaca sejuk, yang mana kami terpaksa pakai jaket. Seperkara lagi, saya sentiasa memakai sunblock kerana takut wajah bertukar menjadi orang Nepal. Pengalaman saya yang lepas, saya tidak sedar wajah menjadi gelap kerana cuaca sejuk. Pantulan cahaya matahari pada salji yang menjadikan begitu.

Peserta XPDC ABC

Target kami untuk bermalam ialah di Bamboo (2335 mdpl). Perjalanan kami melalui kawasan berbatu dan tepi sungai, kawasan hutan serta kampong. Trek di kawasan yang bersalji lecak dan berair. Jarak perjalanan lebih kurang 19 km dan memakan masa lebih kurang 7 ½  jam perjalanan.

Perjalanan turun dari ABC

Hari Ketujuh (07/11/15)
Hari ini kami meneruskan perjalanan ke Jhinudanda (1780 mdpl). Jarak dari Bamboo ke Jhinudanda lebih kurang 12 km dan memakan masa lebih kurang 7 jam perjalanan. Jhinudanda adalah tempat di mana terdapat satu kawasan kolam air panas semulajadi. Tetapi, tidak seorang pun dari kami yang pergi mandi manda di sana kerana penat. Treking ke kolam air panas tersebut memakan masa 30 minit dari guest house.

Bertembong orang Malaysia dari Kelab Penjejak Gunung

Hari Kelapan (08/11/15)
Hari ini perjalanan pendek sahaja. Jarak dari Jhinudanda ke Siwai (1700 mdpl) hanya lebih kurang 7 km. Kami mengambil masa lebih kurang 3 ½ jam untuk tiba ke situ. Trek adalah senang. Kami tiba di Siwai sebelum tengahari. Kami makan tengahari di sini dan seterusnya menaiki bas ke Pokhara. Kami tidak treking lagi dari sini kerana tidak ada apa sangat untuk dilihat dan lagi kami penat serta tidak sabar untuk sampai ke Pokhara bagi menikmati nasi beriani kambing.

Bergambar ramai sebelum menaiki bas        
                                                 
Masa tiba di Pokhara, keadaan masih cerah. Selepas haversack kami dipunggah, kami memberikan tips yang dikumpul kepada Keshab untuk dibahagikan pada semua porter. Kami memungut sebanyak NPR1000 (RM40.00) setiap sorang. Lepas itu “free and easy”.

Hari Kesembilan (09/11/15)
Pagi pagi selepas sarapan, kami menaiki bas pelancong yang disediakan. Perjalanan ke Kathmandu memakan masa lebih kurang 7 jam. Perjalanan banyak melalui kawasan lereng gunung. Kelihatan  kawasan perkampongan serta ladang di lereng lereng gunung. Pemandangan yang sedap dipandang.

Keshab telah bermurah hati untuk menjamu kami makan malam selera Nepalese serta dihidangkan dengan persembahan kebudayaan di sebuah restoran di Kathmandu.

Jamuan makan malam di restoran

Keesokan hari nya, hampir semua peserta pulang ke Malaysia, dengan penerbangan yang berbedza. Saya memilih untuk tinggal satu hari lagi kerana ingin melihat bandar Kathmandu secara lebih dekat.

Sekian. 


Disediakan Oleh;

OHM00008 Tokwan


Panduan untuk lawatan ke ABC boleh rujuk Artikel berkaitan :

1 comment:

- Anonymous tak akan dilayan. Sila tinggalkan nama / nama samaran supaya senang nak sebut sekiranya ada perbincangan.

- Komen yang berkaitan dengan artikel di atas sahaja.

- Komen merapu @ 'Hit and Run' akan diPADAMkan serta merta.

Komen / pendapat yang berbaur ugutan, hasutan, kepartian, perkauman, kelucahan serta apa-apa sahaja yang menyentuh keharmonian sesebuah negara / agama / bangsa adalah dilarang sama sekali dan pihak KOHM tidak akan teragak-agak untuk meminda / memadam mana-mana komen yang dianggap tidak sesuai untuk dipaparkan di dalam blog ini. Kebijaksanaan anda di dalam memberi komen / pendapat yang membina adalah dipohon.