Thursday, January 8, 2015

MISI BANTUAN BANJIR KOHM [PRAY FOR KUALA KRAI]

[salah satu kenderaan yang terlibat]

Semua rakyat Malaysia sedia maklum, banjir besar telah melanda kawasan Pantai Timur dan yang paling teruk terjejas adalah di daerah Kuala Krai, Kelantan. Rancangan untuk menghantar Misi Bantuan kepada mangsa yang terjejas bermula apabila, Setiausaha KOHM, OHM00001 Garfu, telah memaklumkan bahawa kampung beliau merupakan salah sebuah kampung yang hampir 98% ditengelami air di dalam bencana banjir pada kali ini. Apabila air mulai surut, keadaan di sekitar kampong beliau yang sangat menyedihkan. Banyak rumah telah rosak, roboh atau hilang dihanyutkan air. Atas dasar simpati dan ingin membantu sesama manusia maka beliau telah mencadangkan kepada KOHM untuk memberikan sebarang bantuan yang termampu.
  
[sukarelawan wanita sedang menjalan tugas pembungkusan dan pengasingan pakaian]


Cadangan diterima sebulat suara oleh AJK, maka bermulalah usaha untuk mendapatkan sumbangan termasuk tenaga kerja dan juga pengangkutan.  Urusan untuk mendapatkan sumbangan telah dibuat mulai 26 Disember 2014 melalui hebahan di Fan Page KOHM. Sumbangan diterima adalah dalam bentuk barangan keperluan harian, makanan kering serta wang ringgit. Selebihnya, ditampung oleh KOHM termasuk makan minum sukarelawan dan minyak kenderaan yang terlibat. Sasaran misi pada kali ini  adalah untuk memberikan bantuan kepada  sekurang-kurangnya 50 buah keluarga di Kampung Pahi atau kawasan sekitar.  Antara barang yang diterima daripada rakan-rakan KOHM adalah  beras, gula, garam, tepung, minyak masak, biskut, sadin, air mineral, ikan masin, lampin budak, sabun mandi, sabun basuh, berus, penyapu, mop lantai, pakaian, dll.

 [sukarelawan lelaki sedang membungkus keperluan makanan]

2/1/2015 (Jumaat)
Dua tempat pengumpulan telah disediakan iaitu di rumah OHM00101 Sepul dan OHM00009 Uncle. Pada hari Khamis bersamaan 2hb Januari 2015 kesemua barang-barang tersebut telah dihantar ke rumah Uncle yang juga merupakan Bendahari KOHM. Di sana, semua proses pengasingan dan pembungkusan barang dilakukan. Tugas tersebut telah dilakukan oleh ahli KOHM dan dibantu oleh keluarga Uncle. Semua urusan pembungkusan telah dapat diselesaikan pada lebih kurang pukul 11.00 malam. Barang-barang tersebut kemudiannya dimuatkan ke dalam 5 buah kenderaan, yang mana  4 buah daripadanya adalah 4WD. Seramai 12 sukarelawan KOHM turut serta di dalam misi bantuan kali ini. Sebenarnya, ramai lagi ahli KOHM yang berminat untuk turut serta dalam misi bantuan ini tetapi apakan daya, kenderaan tidak mencukupi.

[mangsa banjir yang terputus bekalan makanan sejak 8 hari lepas]

Setelah bacaan doa oleh OHM00124 Din, kami mulai bergerak pada jam 11.30 malam dan berkumpul semula di stesyen Petronas berhampiran tol Gombak. Sepanjang jalan kelihatan begitu banyak sekali kenderaan 4WD yang sarat dengan bantuan berhenti di situ. Mereka merupakan sebahagian dari konvoi badan sukarelawan dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

[kohm tepaksa meredah lumpur untuk menghantar bantuan kepada mangsa]

3/1/2015 (Sabtu)
Jam 12.00mlm kami meneruskan perjalanan dan seterusnya berhenti di ‘Kedai Makan Mina Kawan Kita’, iaitu di Kuala Lipis untuk mengalas perut dan menghilangkan rasa mengantuk.

[mengagihkan keperluan bayi dan kanak-kanak]

Lebih kurang jam 9:00 pagi, kami tiba ke Kampung Pahi dan mendapati aras ketinggian air banjir jeas kelihatan pada pokok dan bangunan rumah. Kesan air lumpur jelas kelihatan menutupi bumbung kediaman di situ. Ini jelas menunjukan betapa tingginya paras air banjir dan hampir tidak boleh diterima akal, kerana kawasan tersebut adalah merupakan kawasan yang agak tinggi. Arus air banjir dikatakan begitu deras sehinggakan telah menghayutkan banyak buah rumah. Sampah sarap yang dihanyutkan banjir turut kelihatan serta keadaan jalan dan kawasan sekitar kampung tersangat kotor dan berlumpur.

[petugas kohm]

Setelah dimaklumkan oleh famili Garfu, bahawa pada hari tersebut sahaja sudah ada 4 konvoi bantuan datang kampung tersebut untuk menghulurkan bantuan berupa  makanan, kami kemudian  membuat keputusan untuk membantu penduduk kampung yang tinggal di kawasan lebih terpencil.

[antara barangan yang diagihkan]

Setelah bersarapan di rumah famili Garfu yang tinggal hanya bahagian dapur, kami bersama Saudara Yusof iaitu sahabat lama Garfu telah bergerak ke Kampung Belanga B dan Kampung Temalir untuk menyampaikan bantuan terus kepada mangsa banjir di situ. Untuk makluman kedua-dua kampong ini terputus hubungan jalan raya disebabkan jambatan yang menghubungkannya ditengelami air. Kami terpaksa menggunakan jalan alternatif yang berlumpur untuk tiba ke sana.

[susu coklat untuk adik nih]

Lokasi kampung tersebut adalah jauh dari jalan utama dan berhampiran sungai. Sangat jelas kelihatan di sekitar kawasan tersebut ibarat “padang jarak padang terkukur”. Semua tumbuhan ranap dan tumbang, ia menandakan air banjir yang lalu memang sangat deras. Lumpur tebal di sana sini.

[mangsa yang sangat mengharapkan bantuan tiba]

Dari jam 11:30 pagi hingga jam 4:00 petang, kami telah berjaya mengagihkan barang keperluan kepada lebih 50 buah keluarga. Selebihnya telah diserahkan kepada pusat pengumpulan di sebuah masjid  di kampong yang berhampiran untuk diedarkan kepada yang memerlukan. 

[tanaman yang diusahakan habis musnah]

Daripada apa yang perhatikan, selain daripada keperluan makanan, kebanyakan mangsa sangat memerlukan bantuan seperti peralatan mencuci rumah, dapur, ubat-ubatan, keperluan bayi dan wanita serta pakaian untuk ibadah dan lain-lain.

[sukarelawan sedang menjalankan tugas]

Jam 5.00 petang kami bersiap sedia untuk berangkat pulang.  Badan masih lagi terasa letih tetapi kami puas dapat menyumbang tenaga dalam misi bantuan ini. Dan, alhamdulillah, lebih kurang jam 3.00 pagi kami semua telah selamat tiba ke Kuala Lumpur.

 [bergambar kenangan di hadapan rumah pusaka arwah ibubapa garfu yang turut rosak teruk]

KOHM ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua ahli KOHM, rakan-rakan KOHM, individu perseorangan, agensi  serta guru-guru di Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, Seremban yang sangat bermurah hati terbabit di dalam memberikan sumbangan berupa keperluan makanan, kewangan, pakaian, pengangkutan dan tenaga untuk KOHM menjayakan misi bantuan kepada mangsa banjir pada kali ini. Semoga Allah jua yang membalasnya.

 [penghargaan daripada penduduk kampung]

Insyaallah, KOHM sedang merancang untuk menjalankan misi bantuan kepada mangsa banjir untuk kali yang kedua sedikit masa lagi.

 

 

 

 

 
 
 [sebahagian kecil kesan kemusnahan akibat daripada bencana banjir 2014]


[PRAY FOR KUALA KRAI]


Disediakan oleh : OHM00008 Tokwan




Komen / pendapat yang berbaur ugutan, hasutan, kepartian, perkauman, kelucahan serta apa-apa sahaja yang menyentuh keharmonian sesebuah negara / agama / bangsa adalah dilarang sama sekali dan pihak KOHM tidak akan teragak-agak untuk meminda / memadam mana-mana komen yang dianggap tidak sesuai untuk dipaparkan di dalam blog ini. Kebijaksanaan anda di dalam memberi komen / pendapat yang membina adalah dipohon.