Friday, June 29, 2012

Program Pendidikan Biodiversiti JPN Putrajaya 17-20 Mac 2011

 












Pada 17-20 Mac 2011, Kelab Pencinta Alam SMK Putrajaya Presint 8(1) telah menghantar 34 orang wakil yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 sehingga pelajar tingkatan 6. Berikut merupakan intipati program yang telah dijalankan dengan penuh dedikasi oleh fasilitator PERHILITAN dan penuh semangat oleh peserta kem.

17 Mac 2011 

Kami tiba di destinasi lebih kurang jam 12.00 tengah hari. Namun begitu, untuk benar-benar sampai ke tempat perkhemahan, kami perlu berjalan kaki bersama beg pakaian dan juga sleeping beg yang digalas. Hal ini berlaku ekoran keadaan jalan yang sempit dan tidak boleh dilalui oleh bas kami.

Setibanya kami di tempat perkhemahan, kami disambut dengan mesra oleh Encik Zain merangkap ketua komander kami yang ketika itu sedang menyapu daun-daun kering yang gugur ke bumi. Setelah itu, kami diasingkan kepada 2 kumpulan besar iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan. Kumpulan lelaki terdiri daripada 2 kumpulan kecil manakala kumpulan perempuan terdiri daripada 5 kumpulan kecil kerana jumlah peserta perempuan jauh lebih besar berbanding peserta lelaki. 

Kami kemudiannya dikumpulkan mengikut kedudukan di dalam khemah. Setelah itu, kami dibenarkan untuk merehatkan diri sehingga jam 2 petang. Terdapat peserta yang sempat melelapkan diri di dalam khemah. Ternyata, udara yang segar dan nyaman membuatkan kami selesa dan cepat menyesuaikan diri. Pada jam 2 petang, kami kembali berkumpul. Encik Zain memberi penerangan tentang peraturan yang seharusnya dipatuhi. Kami juga diberi arahan supaya membentuk kumpulan tanpa bersuara namun cubaan kami gagal. Seterusnya, nombor 1-3 digunakan untuk membentuk kumpulan kami sebanyak 3 kumpulan yang masing-masing mempunyai ahli seramai 11-12 orang.

Selesai dengan itu, kami dibenarkan untuk berehat sekali lagi sehingga kami bersolat isyak. Setelah itu, kami dikehendaki memperkenalkan diri masing-masing. Tamat sesi pengenalan diri, aktiviti diteruskan dengan penerangan akan program selama 4 hari 3 malam di sana. Kami juga diterangkan mengenai spesies flora dan fauna. Aktiviti ini berakhir pada jam 12 malam.

18 Mac 2011 

Pada jam 8 pagi, kami berkumpul di dewan untuk bersenam sebelum bersarapan. Setelah itu, kami menjalankan aktiviti kompas dan survival. Setiap peserta berpeluang untuk merasai pengalaman menggunakan kompas. Sepanjang perjalanan kami yang memerlukan teknik penggunaan kompas yang betul, kami dapat melihat keindahan hutan dan juga bentuk muka bumi di kawasan sekitar. Aktiviti ini memerlukan daya tahan mental dan fizikal yang sangat tinggi terutamanya apabila hampir kesemua peserta meredah lumpur ekoran pembacaan kompas yang tidak tepat. 

Aktiviti seterusnya diagihkan mengikut fasilitator. Kumpulan Rusa bersama Encik Zain, kumpulan kijang bersma Kak Ara dan kumpulan napoh bersama Encik Zaidi. Aktiviti ini sangat mencabar kerana kami dikehendaki berjalan merentasi perkampungan orang asli yang agak jauh. Terdapat fasilitator yang mencabut ubi kayu untuk dimasak ketika berada di dalam hutan kelak. Encik Zain membawa kami ke sebuah kawasan yang begitu hampir dengan sungai untuk menikmati hidangan tengah hari kami.

Sebelum itu, proses memasak harus dijalankan terlebih dahulu. Setiap peserta dibahagikan dengan tugas mencari kayu, menghidupkan api, memasak dan membasuh pinggan. Kumpulan saya iaitu kumpulan Rusa telah berjaya mendahului kumpulan lain dalam aktiviti menghidupkan api, memasak dan seterusnya makan. Ini semua merupakan hasil usaha kesemua ahli kumpulan dan keutuhan kepimpinan pemimpin kumpulan kami.

Pada waktu malam, kami diberikan tugas iaitu refleksi jurnal iaitu proses mengimbas kembali aktiviti yang dijalankan pada sepanjang hari tersebut. Selepas itu, kami ditontonkan dengan sebuah tayangan video berkenaan masyarakat yang hidup bersama haiwan-haiwan liar di sebuah hutan. Terdapat ramai peserta yang tertidur ketika video ditayangkan kerana letih mendaki bukit pada siang hari. Tamat sahaja tayangan video, fasilitator membenarkan kami kembali ke khemah. Tidur kami pada malam itu sangat nyenyak dek kepenatan dan kedinginan malam yang menggigit tulang.

19 Mac 2011 

Seperti biasa, aktiviti senaman mendahului aktiviti lain pada hari tersebut. Selepas bersarapan, kami menjalankan aktiviti menjejak kelawar. Permulaan kepada aktiviti ini ialah kami diberikan satu kain penutup mata. Setelah mata sepenuhnya ditutup, kami diminta untuk memegang bahu rakan yang berada di hadapan kami dan tidak dibenarkan untuk melepaskan pegangan selagi tangan tidak diketuk oleh kayu. Setelah tangan diketuk perlahan, kami dikehendaki untuk mengikut arah yang dibawa oleh kayu tersebut. Setelah itu, kami memegang tali sepanjang perjalanan agar tidak tersasar dari laluan ekoran penutupan mata kami. 

Kami meneruskan perjalanan seorang demi seorang. Ketika itu, perasaan takut bercampur dengan rasa ingin tahu. Kami merasakan jarak perjalanan agak jauh, namun apabila mata dibuka kembali, ternyata kami hanya berlegar-legar di kawasan tapak perkhemahan sahaja. Aktiviti ini dijalankan sebagai latihan fizikal dan mental kepada kami sebelum aktiviti menjejak kelawar dijalankan. 

Aktiviti ini memerlukan kami memasuki gua Batu Maloi yang terkenal dengan mitos Maloi dan Puteri Bunian yang cinta mereka dihalang oleh ibu kepada Maloi. Terdapat 12 checkpoint di dalam gua yang kami lalui

Pada checkpoint yang ke-6, kami dapat melihat sendiri kapal Maloi yang dipercayai telah membawanya ke kayangan. Manakala di checkpoint yang ke-8, kami dapat melihat secara langsung lukisan yang menyerupai Maloi dan juga Puteri Bunian. Gua Batu Maloi ini merupakan gua batu granit. 

Di dalamnya, hidupan seperti mentibang, kelawar dan juga katak dapat kami lihat. Banyak rintangan yang terpaksa kami tempuhi sebelum tiba di checkpoint yang terakhir. Namun begitu, wajah kepuasan dan keseronokan kami juga tidak dapat disembunyikan. Tiba di checkpoint ke-12, kami perlu menunggu sehingga semua peserta selamat keluar dari gua Batu Maloi sebelum meneruskan perjalanan menuju ke tapak perkhemahan. 

Setelah makan tengah hari, kami diberikan tugas iaitu karya alam. Kami sempat bermandi hujan untuk menyiapkan karya tersebut sebelum diarahkan berteduh oleh fasilitator. Kami kembali menyambung tugasan setelah hujan kembali reda. Setelah dinilai oleh fasilitator, hujan kembali turun. Kami berteduh di dewan makan sambil berselawat, berzikir munajat dan membaca asmaul husna. 

Lama selepas itu, kami dibenarkan pulang ke khemah dan membersihkan diri sebelum bersolat dan berehat. 8.15 malam, kami berkumpul kembali untuk melakukan aktiviti refleksi jurnal. Setelah itu, fasilitator membentangkan hasil kerja kami sepanjang perkhemahan ini berlangsung. Lebih kurang jam 12 malam, kami pulang ke khemah dan terus melelapkan mata.

20 Mac 2011 


Masa begitu mencemburui kami. Hari terakhir telah tiba. Setelah bersenam, kami bersarapan kami menjalankan beberapa aktiviti dan yang terakhir ialah membersihkan tapak perkhemahan agar keindahan hutan tetap terpelihara tidak kira apa jua situasi. Selesai aktiviti terakhir, kami bergambar sebelum bergerak pulang ke sekolah. perjalanan sepi kerana peserta-peserta keletihan. Kebanyakan kami tidur sepanjang perjalanan.

Disediakan oleh,
(Noor Ashikin Aminuddin)
Pelajar SMK Putrajaya Presint 8 (1),
Wilayah Persekutuan Putrajaya

No comments:

Post a Comment

- Anonymous tak akan dilayan. Sila tinggalkan nama / nama samaran supaya senang nak sebut sekiranya ada perbincangan.

- Komen yang berkaitan dengan artikel di atas sahaja.

- Komen merapu @ 'Hit and Run' akan diPADAMkan serta merta.

Komen / pendapat yang berbaur ugutan, hasutan, kepartian, perkauman, kelucahan serta apa-apa sahaja yang menyentuh keharmonian sesebuah negara / agama / bangsa adalah dilarang sama sekali dan pihak KOHM tidak akan teragak-agak untuk meminda / memadam mana-mana komen yang dianggap tidak sesuai untuk dipaparkan di dalam blog ini. Kebijaksanaan anda di dalam memberi komen / pendapat yang membina adalah dipohon.