Friday, June 29, 2012

Laporan PPBD JPN Putrajaya 2011 ...

LAPORAN KEM PENDIDIKAN BIODIVERSITI BERSAMA PERHILITAN

sama tapi tak serupa
cut n paste

       Pada 17-20 Mac 2011, Kelab Pencinta Alam Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) telah menghantar wakil seramai 34 orang yang terdiri daripada tingkatan1-6 untuk menghadiri satu perkhemahan bertempat di Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan. Kami diiringi oleh 2 orang guru Kelab Pencinta Alam iaitu Puan Siti Zahrah dan Puan Noor Mahnun. 

          Kami mula berkumpul di terminal sekolah pada pukul 7.30 pagi.Pada jam 8.30 pagi,bas mula bertolak.Lebih kurang pada jam11 pagi,kami diminta untuk makan di pecan sebelum masuk ke tapak kem kerana disana kami akan diberi makan pada waktu petang.

Kami tiba pada pukul 12 tengah hari, tetapi kami perlu berjalan lebih kurang 5 minit untuk sampai ke tapak perkhemahan  kerana bus yang membawa kami tidak boleh masuk kerana jalannya yang sempit. Setibanya kami di tapak perkhemahan, kami disambut oleh Encik Zain iaitu ketua komander. 

Kami diagihkan kepada 2 kumpulan lelaki dan 5 kumpulan perempuan. Kumpulan ini dikumpulkan mengikut kedudukan  dalam khemah. Selepas kami diagihkan kepada kumpulan, kami berehat sampai pukul 2 petang. 

Selepas itu, kami diminta berkumpul dan Encik Zain memberi beberapa penerangan tentang peraturan-peraturan yang wajib kami patuhi sepanjang  kami di sana. Seterusnya, kami diberi beberapa arahan tanpa menggunakan suara untuk mencari kumpulan tetapi kami gagal. 

Akhirnya, kami menggunakan nombor untuk menentukan kumpulan kami. Kami dibahagikan kepada 3 kumpulan yang terdiri daripada 11-12 orang. Nama-nama kumpulan yang diberikan ialah Rusa, Kijang dan Napoh. Saya berada dalam kumpulan Kijang yang terdiri daripada 11orang ahli.

          Seterusnya, kami dibenarkan untuk berehat, mandi, sembahyang dan makan malam sehingga pukul 8.15 malam. Setelah itu, kami berkumpul di dewan kuliah untuk sesi berkenalan bersama 34 orang pelajar, 2 orang guru,bersama  3 orang fasilitator iaitu Kak Ara, Encik Zaidi dan Encik Zain serta pemantau dari Sabah iaitu Encik Taufik. 

Selepas habis sesi berkenalan, Encik Zain telah menerangkan kepada kami aktiviti-aktiviti yang akan kami lakukan selama 4 hari 3 malam kami berada disana. Selain itu, Encik Zain juga menerangkan kepada kami beberapa jenis mamalia dan flora dan fauna bersama-sama nama saintifik. Ceramah ini berakhir pada pukul 12 tengah malam.

          Pada hari ke 2, kami berkumpul di depan dewan kuliah pada pukul 8 pagi untuk melakukan senaman, sarapan dan melakukan aktiviti kompas dan survival. Sebelum melakukan aktiviti kompas, kami diberi penerangan oleh Encik Zain untuk mengenali kompas terlebih dahulu sebelum kami dilepaskan supaya kami tidak sesat. 

Sepanjang perjalanan kami melakukan aktiviti kompas, kami dapat melihat bentuk-bentuk muka bumi seperti cerun, berbukit, paya dan anak sungai. Ini merupakan pengalaman pertama kami dalam menjalankan aktiviti menggunakan kompas di dalam hutan sebenar. Pada mulanaya,kami tidak yakin dengan arah yang kami dapat,namun diatas komitmen ahli kumpulan ,kami berjaya sampai ke tempat yang ditetapkan.Kami berasa puas hati dan seronok kerana dapat sampai dalam masa yang sepatutnya.

Dalam aktiviti yang seterusnya,kami diagihkan mengikut fasilitator. Kumpulan Rusa bersama Encik Zain, kumpulan kijang bersama Kak Ara dan kumpulan napoh bersama Encik Zaidi.Aktiviti ini sangat mencabar fizakal dan mental setiap peserta kerana kami dikehendaki berjalan melalui perkampungan orang asli dalam tempoh masa yang agak lama.

Sepanjang perjalanan, kami diberikan beberapa penerangan tentang pokok berbatang besar, palma dan herba sepanjang perjalanan sebelum sampai ke destinasi kami. Kami juga mencabut ubi untuk direbus  untuk dijadikan salah satu hidangan tengah hari kami. Encik Zain membawa kami berhenti di kawasan yang berdekatan dengan sungai untuk menikmati hidangan tengahari.Setiap kumpulan diminta mencari kawasan yang sesuai untuk menghidupkan api dan memasak.

Kumpulan  saya dibahagikan mengikut tugas yang diberikan seperti mencari kayu api,memasak,menghidupkan api dan membasuh pinggan. Pada mulanya kumpulan saya mendahului kumpulan lain, namun disebabkan kelemahan kami ketika menghidupkan api, kami mula memasak lewat sedikit berbanding kumpulan Kak Ara.Setelah Berjaya menghidupkan api, kami mula memasak. Sementara menunggu hidangan siap,kami bermain bersama di tepi sungai.Kami berasa sungguh teruja kerana terpegun dengan keindahan yang ada di sini.

Sejujurnya,kami tidak pernah melihat keindahan sebegini di Putrajaya.Tidak lama kemudian,kami menikmati hidangan tengah hari bersama.Masing-masing diam ketika makan kerana terlalu lapar.Sebelum bertolak balik,kami sempat naik keatas sedikit untuk melihat pelbagai flora yang ada seperti pokok jari hantu ,tongkat ali,dan kacip fatimah.Setengah jam kemudian,kami berjalan balik mengikut arah yang sama ketika pergi.

Pada malam hari, kami diberi tugas untuk melakukan kerja kumpulan iaitu refleksi journal. Kami diberi tugasan ini kerana fasilitator ingin kami mengimbas kembali program yang kami jalankan sepanjang hari tersebut. Selepas habis membuat refleksi, kami ditayangkan dengan video tentang haiwan-haiwan. 

Oleh kerana kepenatan, ramai peserta yang tertidur semasa video ditayangkan. Pada pukul 12.00 tengah malam baru kami dilepaskan untuk tidur. Peserta-peserta terus tidur selepas diberi kelepasan kerana terlampau letih selepas seharian berjalan di dalam hutan.

Pada hari ke-3, seperti biasa kami melakukan senaman terlebih dahulu sebelum sarapan pagi. Selepas bersarapan, kami membuat aktiviti jejak kelawar. Petama, kami diberi penutup mata untuk menutup mata kami. Seterusnya, kami diminta memegang bahu kawan yang berada dihadapan dan tidak boleh dilepaskan selagi kayu tidak diketuk di tangan. 

Selepas itu, kami diminta memegang kayu dan mengikut kemana kayu itu membawa kami. Kayu itu membawa kami memegang tali. Kami tidak dibenarkan melepaskan tali tersebut kerana kami mungkin boleh sesat semasa aktiviti ini dijalankan. Kami dilepaskan seorang demi seorang. 

Sebelum aktiviti ini dijalankan, perasaan ingin tahu, takut dan gementar bermain di  fikiran kami kerana mata kami ditutup dan kami tidak tahu rintangan dan halangan yang berada di hadapan kami. Akhir sekali, kami sampai di depan dewan kuliah dimana tempat kami bermula. Aktiviti ini dijalankan bertujuan untk menyampaikan kehidupan menjadi seekor kelawar.

Seterusnya, aktiviti yang kami jalankan ialah meneroka Gua Batu Maloi iaitu aktiviti kemuncak kami. Kami diberi taklimat sebelum melakukan aktiviti tersebut. Kami diminta mendengar arahan dari orang yang berada paling hadapan dan menyampaikannya kepada orang-orang selepasnya. 

Aktiviti ini amat mencabar fizikal dan mental kami. Kami melalui 12 check point dimana check point ke 6 kami dapat melihat kapal yang dipercayai membawa Maloi ke negeri kayangan. Manakala di check point ke 8, kami dapat melihat lukisan Maloi dan Puteri Kayangan. Tetapi ini semua hanya mitos kerana lukisan itu terbentuk dari air-air hujan yang turun lalu membentuk lukisan tersebut. 

Gua yang kami terokai ini sebenarnya ialah batu granit. Banyak hidupan liar yang kami temui di dalam gua seperti mentibang, kelawar, katak dan labah-labah. Yang paling banyak ialah kelawar dan katak. Pengetahuan yang kami perolehi semasa aktiviti ini ialah gua menjadi habitat kepada binatang, menjadi tempat perlindungan kepada binatang, menjadi tempat rekreasi kepada masyarakat dan menjadi kawasan pelancongan. Kami berasa sungguh seronok dan gembira sepanjang laluan yang kami lalui.Pelbagai jenis rintangan yang kami hadapi terutamanya ketika memanjat pelbagai jenis batu yang berlainan jenis serta licin.

Selepas tiba di check point 12, kami berehat sebentar menunggu pelajar-pelajar lelaki sebelum bergerak balik ke tapak perkhemahan. Semasa perjalanan keluar dari hutan, hujan mula turun. Sepanjang perjalanan balik kami berkongsi cerita antara satu sama lain mengenai keadaan di dalam gua.

Selepas semua berkumpul di depan dewan kuliah, kami diberi tugasan seterusnya iaitu membuat karya alam. Kami diminta menghasilkan sebuah karya yang menggunakan barang-barang semulajadi seperti ranting, daun kering, batu dan sebagainya. Semasa hendak melaksanakan tugasan, hujan mula turun dengan lebatnya dan membuatkan kami seperti berada di dalam ais. 

Kami berlari kedalam dewan makan sementara menunggu hujan berhenti. Ada antara mereka yang bercakap-cakap, bermain dan sebagainya. Selepas seketika, hujan berhenti dan kami menjalankan tugasan kami dengan secepat mungkin kerana hujan bakal turun lagi. Kami bekerjasama melakukan aktiviti ini, tidak ada antara mereka yang lepas tangan kerana tugasan telah dibahagi-bahagikan. 

Selepas selesai, hujan turun kembali dan kami berjalan laju ke dalam dewan makan. Kali ini kami berselawat, zikir munajat dan menyanyi Asma Ul Husna. Lebih kurang setengah jam, hujan mula rintik-rintik. Kami diberi kelepasan untuk ke khemah dan membersihkan badan, berehat dan sembahyang. Kami berkumpul kembali pada pukul 8.15 untuk melakukan refleksi journal tentang aktiviti yang kami jalankan sepanjang hari ini. Selepas membuat refleksi journal, fasilitator membentangkan hasil kerja kami selama berada disini secara powerpoint. Setelah habis, kami dibenarkan kembali ke khemah pada pukul 12.00 malam. Kerana terlampau kepenatan, kami terus tidur tanpa bersembang dahulu.

Paha hari terakhir, kami melakukan senaman terlebih dahulu diikuti sarapan pagi dan seterusnya melakukan aktiviti perseorangan iaitu mesej atau nasihat tentang fasilitator-fasilitator. Selepas membuat aktiviti tersebut, aktiviti terakhir kami ialah aktiviti membersihkan tapak perkhemahan sebelum bergerak balik meninggalkan tapak perkhemahan. Selepas bergambar, kami makan tengah hari terlebih dahulu sebelum meninggalkan tapak perkhemahan. Kami bergerak balik pada pukul 1.30 petang dan sampai di perkarangan sekolah pada pukul 3.00 petang. Kami berasa amat berbangga kerana terpilih mengikuti perkhemahan ini.Sudah tentu,kami tidak akan melupakan setiap kenangan dan aktiviti yang dilalukan sepangjang kami berada di sana.

Disediakan oleh,
(FILZAH ARINAH BT ABDUL RAHMAN)
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1),
Wilayah Persekutuaan Putrajaya. 

No comments:

Post a Comment

- Anonymous tak akan dilayan. Sila tinggalkan nama / nama samaran supaya senang nak sebut sekiranya ada perbincangan.

- Komen yang berkaitan dengan artikel di atas sahaja.

- Komen merapu @ 'Hit and Run' akan diPADAMkan serta merta.

Komen / pendapat yang berbaur ugutan, hasutan, kepartian, perkauman, kelucahan serta apa-apa sahaja yang menyentuh keharmonian sesebuah negara / agama / bangsa adalah dilarang sama sekali dan pihak KOHM tidak akan teragak-agak untuk meminda / memadam mana-mana komen yang dianggap tidak sesuai untuk dipaparkan di dalam blog ini. Kebijaksanaan anda di dalam memberi komen / pendapat yang membina adalah dipohon.