Friday, June 29, 2012

Laporan PPBD JPN KELANTAN 2011 ...

PROGRAM PENDIDIKAN BIODIVERSITI PERINGKAT KEBANGSAAN ANJURAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BERSAMA-SAMA JABATAN PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR (PERHILITAN)

TARIKH
CATATAN
11/3/2011
Pada pukul 10.00 pagi, bas dari Kelantan tiba di Pusat Pendidikan Biodiversiti Gua Batu Maloi.

Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk ke Pusat Pendidikan Biodiversiti tersebut. Sampai sahaja di sana, kami disambut oleh beberapa orang pegawai yang bertugass di pusat biodiversiti tersebut.

Selepas itu, para peserta diperkenalkan kepada Pengetua Program Pendidikan Biodiversiti yang kami sertai, iaitu Encik Rusmankhairul bin Surin.

AKTIVITI
Suai Kenal
Aktiviti pertama kami dalam program ini ialah Suai Kenal.

Pertama sekali, peserta diminta untuk berkumpul mengikut sekolah masing-masing tanpa menggunakan suara. Selepas itu, kami diminta untuk memperkenalkan diri dan rakan sekolah yang sama kepada peserta lain.

Selepas itu, kami dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Rusa, Kumpulan Kijang dan Kumpulan Napoh. Kami kemudiannya ditugaskan untuk mencipta logo untuk kumpulan masing-masing. Setelah siap, ketua kumpulan diminta untuk membentangkan logo tersebut.

 
Rumusan
-          Melalui aktiviti ini, kami belajar untuk mematuhi arahan yang diberikan
-          Kami juga dapat mengenal rakan-rakan baharu
-          Selain itu, kami dapat memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan

Keyword
-          Patuh kepada arahan
-          Berani
-          Kerjasama
-          Kreatif

Taklimat Program
Selepas itu, Encik Rusman telah memberi taklimat tentang program pendidikan biodiversiti kepada kami.

Encik Rusman telah menerangkan kepada kami tentang objektif program biodiversiti yang sedang kami ikuti. Encik Rusman juga menjelaskan peraturanv yang wajib dipatuhi sepanjang para peserta mengikuti program tersebut. Selain
 itu, kami juga ditugaskan mengikut kumpulan masing-masing untuk memastikan tapak kem berada dalam keadaan baik.



Selepas itu, kami diberi taklimat tentang cara-cara untuk memasang khemah kami.
Kami mendengar dengan teliti bagaimana untuk memasang khemah dengan betul. Setelah mendengar taklimat pemasangan khemah, kami memulakan pemasangan khemah masing-masing.

Rumusan
-          Melalui aktiviti ini, kami mengetahui tip-tip tentang perkhemahan
-          Kami juga dapat mempelajari cara-cara untuk memasang khemah dengan betul

Keyword
-          Memberi perhatian
-          Mematuhi arahan
-          Berusaha

Ceramah Biodiversiti
Selepas solat Maghrib dan makan malam, kami diminta berkumpul di dewan.

Pada malam tersebut, kami telah mendengar ceramah yang disampaikan oleh Encik Rusman.

Encik Rusman telah menyampaikan ceramah tentang Biodiversiti. Kami telah mengetahui banyak maklumat tentang biodiversity. Kami telah mengetahui tentang maksud biodiversiti, kepentingan biodiversiti dan lain-lain lagi.

Kami juga mendapat maklumat tentang hutan dan hidupan liar. Kami juga diberi peluang untuk mengenali pelbagai spesies flora dan fauna yang terdapat di Malaysia.


12/3/2011

Hari ini adalah hari kedua kami berada di Pusat Pendidikan Biodiversiti Gua Batu Maloi.

Setelah selesai solat subuh, kira-kira pada pukul 7.00 pagi, kami berkumpul di dataran. Kami telah menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Selamat Sultan. Selepas itu, kami melakukan senaman ringan.

Kemudian, kami bersarapan bersamama-sama di kafeteria.

AKTIVITI


Merentas Hutan Menggunakan Kompas
Selepas itu, kami diberi taklimat tentang penggunaan kompas. Kompas mempunyai lapan arah mata angin yang utama iaitu utara, timur laut, timur, tenggara,selatan, barat daya, barat, dan barat laut. Utara terbahagi kepada tiga iaitu utara benar, utara magnetik dan utara grid. Semasa menggunakan kompas, para peserta hendaklah menjauhi kompas daripada objek besi dan meletakkan kompas di atas tempat yang rata.

Setiap kumpulan dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang. Setiap kumpulan diberi satu kertas pandu arah dan sebuah kompas. Para peserta hendaklah mengikuti kertas pandu arah yang mempunyai  11 check point.

Berpandukan kertas pandu arah tersebut, kami melalui pelbagai bentuk muka bumi seperti kawasan paya, cerun, anak sungai dan kampung orang asli.

Rumusan
-          Melalui aktiviti ini, kami dapat belajar menggunakan kompas dengan betul.
-          Selain itu, aktiviti ini juga mengajar kami sikap bantu – membantu dan saling bekerjasama.
-          Di samping itu, aktiviti ini juga mengajar nilai kepimpinan.

Keyword
-          Bekerjasama
-          Kepimpinan
-          Patuh kepada arahan

Kembara Bio-D (Jungle Trekking)
Jam 11pagi,selepas selesai minum pagi,semua peserta berkumpul semula bagi menjalani aktiviti seterusnya iaitu merentas hutan.Untuk aktiviti ini, peserta diminta untuk menyiapkan makan tengah hari apabila sampai di dalam hutan nanti.

Wakil kumpulan dikehendaki mengambil barang-barang serta peralatan yang diperlukan seperti periuk, pinggan, gelas, sudu dan bahan-bahan untuk memasak.Sambil berjalan merentasi hutan,peserta telah diberikan info berkenaan dengan kepelbagaian flora dan fauna di dalam hutan tersebut oleh fasilitator kumpulan masing-masing.

Setelah 45 minit berjalan,kami tiba ditempat yang telah ditetapkan yang berhampiran dengan sungai.Ketua kumpulan membahagikan tugas kepada ahli kumpulan masing-masing agar semua tugas yang diberikan dapat disiapkan dengan sempurna.


Selesai makan tengah hari, kami diberikan peluang untuk bermandi-manda di dalam sungai itu.  Kemudian,kami telah dipanggil oleh seorang jurulatih bertujuan untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci kepada kami berkenaan dengan hidupan yang terdapat di sekitar hutan tersebut. Kami didedahkan dengan kepelbagaian flora yang terdapat di situ seperti tumbuhan menumpang, pokok palma, pokok herba dan pokok besar.

Selepas itu, kami berkumpul semula bagi mengadakan aktiviti refleksi jurnal bersama dengan Encik Rusman. Kami berkongsi pendapat berkenaan dengan apa yang telah kami pelajari melalui aktiviti tersebut. Setelah semua kawasan dibersihkan, kami memulakan perjalanan untuk kembali ke tapak perkhemahan.

Rumusan
-          Kami dapat mempelajari tentang kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan tersebut serta kepentingannya
-          Kami dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain
-          Kami dapat belajar bagaimana ingin hidup berdikari

Keyword
-          Kepentingan flora dan fauna
-          Berdikari
-          Kerjasama

 
Aktiviti Karya Alam
Pada jam 5.00 petang, peserta dikumpulkan untuk aktiviti karya alam. Setiap kumpulan diberikan dua tugasan iaitu menghasilkan karya alam berunsurkan pemandangan dan binatang liar. Maka, setiap kumpulan dibahagikan kepada dua kumpulan kecil.

Tugasan mestilah disiapkan dalam masa 45 minit. Tugasan karya alam ini hanya boleh menggunakan daun-daun yang gugur, ranting-ranting yang patah dan sumber semula jadi. Peserta tidak dibenarkan mematah atau memetik sebarang tumbuhan yang berada di sekeliling.

Hasil karya alam akan dipersembahkan dan dibentangkan pada malam nanti.

Rumusan
-          Kami dapat mempelajari betapa pentingnya alam sekitar walaupun sekecil daun. Ia amat berguna.
-          Alam ini amat susah untuk dibangunkan tetapi amat senang untuk dimusnahkan.
-          Kita hendaklah menggunakan semula barangan terbuang kerana ia sangat berguna jika digunakan dengan betul.

Keyword
-          Menghargai alam sekitar
-          Kitar semula
-          Bekerjasama
-          Kesenian

Tayangan Dokumentari (Translokasi Gajah dan Taman Negara)
Selepas selesai aktiviti Karya Alam, peserta berkumpul di dewan untuk menonton tayangan dokumentari. Pada hari itu, kami telah ditayangkan satu dokumentari tentang Translokasi Gajah dan Taman Negara. Dokumentari tersebut menayangkan bagaimana PERHILITAN menjalankan tugas untuk memindahkan gajah-gajah liar yang tinggal di tempat yang tidak sesuai kepada tempat yang khusus untuk petempatan gajah.
Peserta  juga ditayangkan dengan usaha Taman Negara unruk melindungi gajah-gajah liar daripada ancaman yang membahayakan.

Rumusan
-          Melalui tayangan ini, kami mendapat maklumat yang berguna tentang tugas PERHILITAN

-          Kami juga dapat menyemai rasa sayang kepada hidupan liar supaya hidupan liar tidak diancam bahaya

Keyword
-          Cinta akan alam sekitar dan hidupan liar
-          Menghargai usaha orang lain


13/3/2011

Para peserta telah solat subuh berjemaah.

Seperti hari sebelumnya, kami berkumpul dan menyanyikan 2 buah lagu serta melakukan senaman ringan.

Selepas itu, kami bersarapan dan bersedia untuk melakukan aktiviti pada hari ketiga.

AKTIVITI
Jejak Si Kelawar
Pada pukul 8.15pagi, selepas minum pagi semua peserta berkumpul semula bagi menjalankan aktiviti yang seterusnya iaitu Jejak Si Kelawar. Bagi aktiviti ni, semua barang kesayangan dikehendaki diletakkan di dewan serbaguna bagi mengelakkan barang tersebut hilang atau rosak seperti jam tangan, cermin mata, buku nota, tanda nama dan lain-lain.

Seterusnya, semua peserta dikehendaki menutup mata dengan sehelai kain yang diberikan oleh Encik Rusman. Kain tersebut hendaklah diikat pada bahagian mata dan peserta tidak boleh melihat apa-apa yang terjadi di sekelilingnya. Kemudian kami semua diberi arahan iaitu apabila mana-mana peserta tangannya diketuk satu kali dengan apa-apa objek hendaklah melepaskan kawan-kawannya yang dipegang. Jika diketuk sebanyak 2 kali peserta akan dihulurkan sebatang kayu untuk ditunjukkan jalan yang terputus tali.

Pelbagai cabaran kami telah terpaksa lalui iaitu berjalan di dalam air, merangkak di dalam lumpur sambil memegang tali yang telah disediakan. Apabila semua tugas selesai, kami dikumpulkan di suatu tempat yang mana semua peserta tidak mengetahui di mana tempat tersebut. Apabila kami diberi kebenaran untuk membuka ikatan helaian kain tersebut, barulah kami mengetahui tempat tersebut. Tempat tersebut ialah di mana kami berkumpul mula-mula tadi.

Kami semua membersihkan diri dan bersiap sedia untuk meneroka gua.

Rumusan
-          Kami dapat mempelajari bagaimana orang buta berjalan dan cara hidup kelawar.
-          Kami dapat memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan supaya tidak terpisah dalam air.
-          Kami hendaklah mempercayai tali kerana tali adalah satu-satunya pegangan dalam aktiviti ini kerana mata tertutup.

Keyword
-          Berdikari
-          Semangat kejersama
-          Bertanggungjawab
-          Berpegang teguh pada ajaran

Meneroka Habitat Kelawar (Gua Kelawar)
Pada sebelah petang pula, kami melakukan aktiviti meneroka habitat kelawar iaitu gua. Kami telah meneroka Gua Batu Maloi.

Sebelum memulakan penerokaan ke dalam Gua Batu Maloi, kami mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh Encik Rusman. Kami telah diberi nombor masing-masing sebagai kod untuk memudahkan perjalanan kami di dalam gua nanti. Kami juga memastikan peralatan yang diperlukan seperti lampu picit dalam keadaan baik. Cuaca juga baik untuk kami meneruskan perjalanan kami.

Sejurus selepas itu, kami memulakan eksplorasi kami ke gua tersebut. Kami terpaksa mengharungi bentuk muka bumi yang berbukit-bukit dan berlumpur. Kami juga terpaksa mengharungi anak-anak sungai untuk memasuki dan ketika berada di dalam gua tersebut. Sepanjang perjalanan, kami melalui di celah batu-batuan. Kami bermula di check point pertama sehingga ke check point terakhir. Ketika berhenti di check point ke-6, kami telah diceritakan mitos Gua Batu Maloi. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke check point terakhir.

Kira-kira 30 minit kemudian, kami sampai di check point terakhir. Di situ, kami mengambil peluang untuk bergambar sebagai kenangan kami telah berjaya meneroka Gua Batu Maloi. Selepas itu, kami pulang ke tapak perkhemahan kami.

Rumusan
-          Melalui aktiviti ini, kami dapat menimba pengalaman baru
-          Kami juga dapat menambahkan keyakinan dalam diri kami
-          Selain itu, kami dapat memupuk semangat kerjasama antara kami

Keyword
-          Keyakinan
-          Bersemangat
-          Kerjasama

Sampel Daun
Para peserta ditugaskan untuk menyediakan sampel daun yang pelbagai jenis. Sebelum kami memulakan tugasan kami, kami diberi taklimat oleh Encik Rusman. Peserta dari setiap kumpulan dikehendaki untuk melukis sampel daun daripada spesies paku-pakis, menumpang dan palma. Kami juga diberi tugasan tambahan sebagai bonus iaitu melukis sampel daun spesies pokok besar.

Selepas diberi taklimat, setiap kumpulan dibahagikan kepada tiga kumpulan iatu kumpulan yang menyediakan sampel daun spesies paku-pakis, menumpang dan palma. Kami diberi masa selama  satu jam untuk menyiapkan tugasan tersebut.

 

Pada pukul 2.00 petang, kami memulakan tugasan kami. Para peserta dari semua kumpulan bekerjasama untuk mencari pelbagai sampel daun untuk dilukis dan diserahkan kepada Encik Rusman. Setelah berakhir satu jam yang diberikan kepada kami untuk menyiapkan sampel-sampel tersebut, kami menyerahkan hasil tugasan setiap kumpulan kepada Encik Rusman. Terdapat juga kumpulan yang menyediakan sampel daun spesies pokok besar sebagai tambahan.

Rumusan
-          Melalui aktiviti ini, kami dapat mengenal pelbagai jenis daun bagi berlainan spesies.
-          Selain itu, kami dapat mengasah bakat kami dari segi seni lukis.
-          Aktiviti ini juga mengajar kami cara untuk bekerja dalam kumpulan

Keyword
-          Kreatif
-          Bekerjasama
-          Menepati masa

 Nature Games dan Keyakinan Diri Di Air
Semua peserta diminta berkumpul di dataran. Pada petang tersebut, kami perlu membayar denda kerana melakukan beberapa kesalahan sepanjang mengikuti program biodiversiti tersebut.

Pada mulanya, kami dikehendaki untuk membuat aksi binatang-binatang yang terdapat di dalam hutan. Peserta dikehendaki melakukan aksi binatang yang berlainan antara satu sama lain. Pelbagai aksi dan bunyi telah dilakukan oleh para peserta. 

Selepas kami melakukan aksi binatang, kami dikehendaki untuk memeluk, mencium dan menyatakan kata-kata manis kepada satu pokok yang terdapat di dataran tersebut.

Pada mulanya, kami berasa malu untuk berbuat demikian, namun demi melahirkan rasa cinta terhadap alam sekitar, kami mengatasi rasa malu tersebut dan melakukannya dengan yakin.

Untuk membayar denda yang seterusnya, semua peserta terpaksa masuk ke dalam sungai untuk membayar denda dengan menyelam di dalam air. Air sungai yang sejuk menyebabkan beberapa orang peserta menggigil.

Selepas itu, kami diberi peluang untuk mandi-manda di dalam sungai tersebut sebelum kembali ke tapak kem.

Rumusan
-          Melalui aktiviti ini, kami dapat meningkatkan keberanian untuk menghadapi cabaran.
-          Kami juga dapat melahirkan rasa sayang terhadap alam sekitar
-          Selain itu, kami dapat mengurangkan rasa malu untuk melakukan sesuatu perkara

Keyword
-          Berani
-          Yakin pada diri
-          Sayang kepada alam sekitar
-          Kerjasama

Refleksi Jurnal
Selepas solat Maghrib dan makan malam, kami berkumpul semula di dewan. Aktiviti pertama pada malam tersebut ialah Refleksi Jurnal.

Kami diberi peluang untuk memberi pendapat dan berkongsi pengalaman kami ketika mengikuti aktiviti-aktiviti dalam program ini. Kami diberi beberapa soalan untuk dijawab. Selepas itu, kami berbincang dan menyuarakan pendapat serta pengalaman kami.

Rumusan
-          Aktiviti ini mengajar kami untuk berfikir dari pelbagai sudut pandangan
-          Kami juga berasa lebih yakin untuk menyuarakan pendapat kami
-          Selain itu, kami mengetahui bahawa muhasabah diri itu penting untuk berjaya


Keyword
-          Yakin pada diri sendiri
-          Berfikir dari pelbagai dimensi
-          Kerjasama
-          Muhasabah diri
-          Berpandangan jauh

Cengkerik Malam
Selepas selesai aktiviti Refleksi Jurnal, para peserta bersedia untuk melakukan aktiviti seterusnya iaitu, Cengkerik Malam.Pada malam tersebut, setiap kumpulan diberi dua tugasan untuk dipersembahkan di dewan serbaguna tersebut.

Persediaan telah dilakukan oleh ketiga-tiga kumpulan sejak hari sebelumnya lagi.

Kumpulan Kijang dan Napoh telah berjaya mempersembahkan persembahan masing-masing dengan baik. Namun, kumpulan Rusa telah menghadapi beberapa masalah yang menyebabkan kumpulan mereka gagal untuk melakukan tugasan-tugasan tersebut. Ahli kumpulan Rusa telah berbincang dan menyatakan faktor-faktor yang telah menyebabkan mereka gagal.

Rumusan

-          Melalui aktivti ini, kami dapat memberanikan diri untuk berdepan dengan khalayak ramai
-          Selain itu, kami dapat mengambil iktibar daripada sesuatu perkara yang terjadi
-          Kami juga dapat meningkatkan semangat kerjasama antara satu sama lain
-          Kami dapat menanam rasa sayang kepada flora dan fauna

Keyword
-          Berani
-          Kerjasama
-          Rasa sayang kepada alam sekitar
-          Muhasabah diri

14/3/2011

Hari ini ialah hari terakhir para peserta mengikuti Program Pendidikan Biodiversiti di Pusat Pendidikan Biodiversiti gua Batu Maloi.

Sebelum kami bersarapan pagi, kami dikehendaki untuk mengemas barang-barang kami. Selepas itu, peserta berkumpul di dataran dan melakukan senaman ringan. Kemudian, kami bersarapan bersama-sama.

AKTIVITI
Mesra Alam
Setelah bersarapan, peserta berkumpul semula di dataran. Kami dikehendaki untuk membersihkan kawasan tapak perkhemahan kami.

Sebelum itu, setiap kumpulan diberikan tempat untuk dibersihkan. Kumpulan Napoh telah ditugaskan untuk membersihkan kawasan tapak khemah. Kumpulan Rusa pula dikehendaki untuk membersihkan kawasan dewan dan dataran manakala Kumpulan Kijang ditugaskan untuk memastikan kafeteria berada dalam keadaan bersih.

Rumusan
-          Kami belajar tentang kepentingan menjag kebersihan
-          Selain itu, kami mengajar diri kami supaya mematuhi arahan yang diberikan

Keyword
-          Menjaga kebersihan
-          Mematuhi arahan
-          Kerjasama

Setelah selesai membersihkan kawasan perkhemahan kami, kami berkumpul dan bersiap sedia untuk memulakan perjalanan pulang ke Kelantan. Kira-kira pada pukul 6.00 petang, kami berjalan keluar ke jalan besar untuk menaiki bas dan bertolak pulang ke Kelantan.


Laporan PPBD JPN Putrajaya 2011 ...

LAPORAN KEM PENDIDIKAN BIODIVERSITI BERSAMA PERHILITAN

sama tapi tak serupa
cut n paste

       Pada 17-20 Mac 2011, Kelab Pencinta Alam Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) telah menghantar wakil seramai 34 orang yang terdiri daripada tingkatan1-6 untuk menghadiri satu perkhemahan bertempat di Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan. Kami diiringi oleh 2 orang guru Kelab Pencinta Alam iaitu Puan Siti Zahrah dan Puan Noor Mahnun. 

          Kami mula berkumpul di terminal sekolah pada pukul 7.30 pagi.Pada jam 8.30 pagi,bas mula bertolak.Lebih kurang pada jam11 pagi,kami diminta untuk makan di pecan sebelum masuk ke tapak kem kerana disana kami akan diberi makan pada waktu petang.

Kami tiba pada pukul 12 tengah hari, tetapi kami perlu berjalan lebih kurang 5 minit untuk sampai ke tapak perkhemahan  kerana bus yang membawa kami tidak boleh masuk kerana jalannya yang sempit. Setibanya kami di tapak perkhemahan, kami disambut oleh Encik Zain iaitu ketua komander. 

Kami diagihkan kepada 2 kumpulan lelaki dan 5 kumpulan perempuan. Kumpulan ini dikumpulkan mengikut kedudukan  dalam khemah. Selepas kami diagihkan kepada kumpulan, kami berehat sampai pukul 2 petang. 

Selepas itu, kami diminta berkumpul dan Encik Zain memberi beberapa penerangan tentang peraturan-peraturan yang wajib kami patuhi sepanjang  kami di sana. Seterusnya, kami diberi beberapa arahan tanpa menggunakan suara untuk mencari kumpulan tetapi kami gagal. 

Akhirnya, kami menggunakan nombor untuk menentukan kumpulan kami. Kami dibahagikan kepada 3 kumpulan yang terdiri daripada 11-12 orang. Nama-nama kumpulan yang diberikan ialah Rusa, Kijang dan Napoh. Saya berada dalam kumpulan Kijang yang terdiri daripada 11orang ahli.

          Seterusnya, kami dibenarkan untuk berehat, mandi, sembahyang dan makan malam sehingga pukul 8.15 malam. Setelah itu, kami berkumpul di dewan kuliah untuk sesi berkenalan bersama 34 orang pelajar, 2 orang guru,bersama  3 orang fasilitator iaitu Kak Ara, Encik Zaidi dan Encik Zain serta pemantau dari Sabah iaitu Encik Taufik. 

Selepas habis sesi berkenalan, Encik Zain telah menerangkan kepada kami aktiviti-aktiviti yang akan kami lakukan selama 4 hari 3 malam kami berada disana. Selain itu, Encik Zain juga menerangkan kepada kami beberapa jenis mamalia dan flora dan fauna bersama-sama nama saintifik. Ceramah ini berakhir pada pukul 12 tengah malam.

          Pada hari ke 2, kami berkumpul di depan dewan kuliah pada pukul 8 pagi untuk melakukan senaman, sarapan dan melakukan aktiviti kompas dan survival. Sebelum melakukan aktiviti kompas, kami diberi penerangan oleh Encik Zain untuk mengenali kompas terlebih dahulu sebelum kami dilepaskan supaya kami tidak sesat. 

Sepanjang perjalanan kami melakukan aktiviti kompas, kami dapat melihat bentuk-bentuk muka bumi seperti cerun, berbukit, paya dan anak sungai. Ini merupakan pengalaman pertama kami dalam menjalankan aktiviti menggunakan kompas di dalam hutan sebenar. Pada mulanaya,kami tidak yakin dengan arah yang kami dapat,namun diatas komitmen ahli kumpulan ,kami berjaya sampai ke tempat yang ditetapkan.Kami berasa puas hati dan seronok kerana dapat sampai dalam masa yang sepatutnya.

Dalam aktiviti yang seterusnya,kami diagihkan mengikut fasilitator. Kumpulan Rusa bersama Encik Zain, kumpulan kijang bersama Kak Ara dan kumpulan napoh bersama Encik Zaidi.Aktiviti ini sangat mencabar fizakal dan mental setiap peserta kerana kami dikehendaki berjalan melalui perkampungan orang asli dalam tempoh masa yang agak lama.

Sepanjang perjalanan, kami diberikan beberapa penerangan tentang pokok berbatang besar, palma dan herba sepanjang perjalanan sebelum sampai ke destinasi kami. Kami juga mencabut ubi untuk direbus  untuk dijadikan salah satu hidangan tengah hari kami. Encik Zain membawa kami berhenti di kawasan yang berdekatan dengan sungai untuk menikmati hidangan tengahari.Setiap kumpulan diminta mencari kawasan yang sesuai untuk menghidupkan api dan memasak.

Kumpulan  saya dibahagikan mengikut tugas yang diberikan seperti mencari kayu api,memasak,menghidupkan api dan membasuh pinggan. Pada mulanya kumpulan saya mendahului kumpulan lain, namun disebabkan kelemahan kami ketika menghidupkan api, kami mula memasak lewat sedikit berbanding kumpulan Kak Ara.Setelah Berjaya menghidupkan api, kami mula memasak. Sementara menunggu hidangan siap,kami bermain bersama di tepi sungai.Kami berasa sungguh teruja kerana terpegun dengan keindahan yang ada di sini.

Sejujurnya,kami tidak pernah melihat keindahan sebegini di Putrajaya.Tidak lama kemudian,kami menikmati hidangan tengah hari bersama.Masing-masing diam ketika makan kerana terlalu lapar.Sebelum bertolak balik,kami sempat naik keatas sedikit untuk melihat pelbagai flora yang ada seperti pokok jari hantu ,tongkat ali,dan kacip fatimah.Setengah jam kemudian,kami berjalan balik mengikut arah yang sama ketika pergi.

Pada malam hari, kami diberi tugas untuk melakukan kerja kumpulan iaitu refleksi journal. Kami diberi tugasan ini kerana fasilitator ingin kami mengimbas kembali program yang kami jalankan sepanjang hari tersebut. Selepas habis membuat refleksi, kami ditayangkan dengan video tentang haiwan-haiwan. 

Oleh kerana kepenatan, ramai peserta yang tertidur semasa video ditayangkan. Pada pukul 12.00 tengah malam baru kami dilepaskan untuk tidur. Peserta-peserta terus tidur selepas diberi kelepasan kerana terlampau letih selepas seharian berjalan di dalam hutan.

Pada hari ke-3, seperti biasa kami melakukan senaman terlebih dahulu sebelum sarapan pagi. Selepas bersarapan, kami membuat aktiviti jejak kelawar. Petama, kami diberi penutup mata untuk menutup mata kami. Seterusnya, kami diminta memegang bahu kawan yang berada dihadapan dan tidak boleh dilepaskan selagi kayu tidak diketuk di tangan. 

Selepas itu, kami diminta memegang kayu dan mengikut kemana kayu itu membawa kami. Kayu itu membawa kami memegang tali. Kami tidak dibenarkan melepaskan tali tersebut kerana kami mungkin boleh sesat semasa aktiviti ini dijalankan. Kami dilepaskan seorang demi seorang. 

Sebelum aktiviti ini dijalankan, perasaan ingin tahu, takut dan gementar bermain di  fikiran kami kerana mata kami ditutup dan kami tidak tahu rintangan dan halangan yang berada di hadapan kami. Akhir sekali, kami sampai di depan dewan kuliah dimana tempat kami bermula. Aktiviti ini dijalankan bertujuan untk menyampaikan kehidupan menjadi seekor kelawar.

Seterusnya, aktiviti yang kami jalankan ialah meneroka Gua Batu Maloi iaitu aktiviti kemuncak kami. Kami diberi taklimat sebelum melakukan aktiviti tersebut. Kami diminta mendengar arahan dari orang yang berada paling hadapan dan menyampaikannya kepada orang-orang selepasnya. 

Aktiviti ini amat mencabar fizikal dan mental kami. Kami melalui 12 check point dimana check point ke 6 kami dapat melihat kapal yang dipercayai membawa Maloi ke negeri kayangan. Manakala di check point ke 8, kami dapat melihat lukisan Maloi dan Puteri Kayangan. Tetapi ini semua hanya mitos kerana lukisan itu terbentuk dari air-air hujan yang turun lalu membentuk lukisan tersebut. 

Gua yang kami terokai ini sebenarnya ialah batu granit. Banyak hidupan liar yang kami temui di dalam gua seperti mentibang, kelawar, katak dan labah-labah. Yang paling banyak ialah kelawar dan katak. Pengetahuan yang kami perolehi semasa aktiviti ini ialah gua menjadi habitat kepada binatang, menjadi tempat perlindungan kepada binatang, menjadi tempat rekreasi kepada masyarakat dan menjadi kawasan pelancongan. Kami berasa sungguh seronok dan gembira sepanjang laluan yang kami lalui.Pelbagai jenis rintangan yang kami hadapi terutamanya ketika memanjat pelbagai jenis batu yang berlainan jenis serta licin.

Selepas tiba di check point 12, kami berehat sebentar menunggu pelajar-pelajar lelaki sebelum bergerak balik ke tapak perkhemahan. Semasa perjalanan keluar dari hutan, hujan mula turun. Sepanjang perjalanan balik kami berkongsi cerita antara satu sama lain mengenai keadaan di dalam gua.

Selepas semua berkumpul di depan dewan kuliah, kami diberi tugasan seterusnya iaitu membuat karya alam. Kami diminta menghasilkan sebuah karya yang menggunakan barang-barang semulajadi seperti ranting, daun kering, batu dan sebagainya. Semasa hendak melaksanakan tugasan, hujan mula turun dengan lebatnya dan membuatkan kami seperti berada di dalam ais. 

Kami berlari kedalam dewan makan sementara menunggu hujan berhenti. Ada antara mereka yang bercakap-cakap, bermain dan sebagainya. Selepas seketika, hujan berhenti dan kami menjalankan tugasan kami dengan secepat mungkin kerana hujan bakal turun lagi. Kami bekerjasama melakukan aktiviti ini, tidak ada antara mereka yang lepas tangan kerana tugasan telah dibahagi-bahagikan. 

Selepas selesai, hujan turun kembali dan kami berjalan laju ke dalam dewan makan. Kali ini kami berselawat, zikir munajat dan menyanyi Asma Ul Husna. Lebih kurang setengah jam, hujan mula rintik-rintik. Kami diberi kelepasan untuk ke khemah dan membersihkan badan, berehat dan sembahyang. Kami berkumpul kembali pada pukul 8.15 untuk melakukan refleksi journal tentang aktiviti yang kami jalankan sepanjang hari ini. Selepas membuat refleksi journal, fasilitator membentangkan hasil kerja kami selama berada disini secara powerpoint. Setelah habis, kami dibenarkan kembali ke khemah pada pukul 12.00 malam. Kerana terlampau kepenatan, kami terus tidur tanpa bersembang dahulu.

Paha hari terakhir, kami melakukan senaman terlebih dahulu diikuti sarapan pagi dan seterusnya melakukan aktiviti perseorangan iaitu mesej atau nasihat tentang fasilitator-fasilitator. Selepas membuat aktiviti tersebut, aktiviti terakhir kami ialah aktiviti membersihkan tapak perkhemahan sebelum bergerak balik meninggalkan tapak perkhemahan. Selepas bergambar, kami makan tengah hari terlebih dahulu sebelum meninggalkan tapak perkhemahan. Kami bergerak balik pada pukul 1.30 petang dan sampai di perkarangan sekolah pada pukul 3.00 petang. Kami berasa amat berbangga kerana terpilih mengikuti perkhemahan ini.Sudah tentu,kami tidak akan melupakan setiap kenangan dan aktiviti yang dilalukan sepangjang kami berada di sana.

Disediakan oleh,
(FILZAH ARINAH BT ABDUL RAHMAN)
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1),
Wilayah Persekutuaan Putrajaya. 
Komen / pendapat yang berbaur ugutan, hasutan, kepartian, perkauman, kelucahan serta apa-apa sahaja yang menyentuh keharmonian sesebuah negara / agama / bangsa adalah dilarang sama sekali dan pihak KOHM tidak akan teragak-agak untuk meminda / memadam mana-mana komen yang dianggap tidak sesuai untuk dipaparkan di dalam blog ini. Kebijaksanaan anda di dalam memberi komen / pendapat yang membina adalah dipohon.